Perkembangan watak Robert_Langdon

Watak ini dicipta oleh penulis Dan Brown sebagai "lelaki yang beliau ingin jadi". Brown sendiri lahir pada 22 Jun 1964 di Exeter, New Hampshire dan watak fiksyen Langdon dikatakan lahir pada 22 Jun di Exeter juga, serta belajar di sekolah yang Brown pernah belajar, iaitu Akademi Philip Exeter. Brown menamakan watak Robert Langdon sempena John Langdon, seorang profesor taipografi (pakar tentang seni perkataan) di Universiti Drexel yang terkenal dengan kemahirannya untuk mencipta ambigram, iaitu sejenis seni perkataan yang boleh dibaca dengan cara yang berbeza; misalnya, sebuah perkataan yang boleh dibaca dan difahami dalam bentuk biasa dan jika diterbalikkan. Sebuah contoh ambigram ciptaannya muncul di kulit buku edisi pertama novel Brown Angels & Demons, dan ambigram lain yang juga diselitkan dalam novel tersebut yang juga dicipta oleh John Langdon. Dalam muka surat penghargaan novel tersebut, Brown menyifatkan Langdon sebagai "salah seorang artis yang paling bijak dan berbakat pernah wujud ... yang berani bangkit menyahut cabaran saya yang mustahil serta menghasilkan seni ambigram untuk novel ini". John Langdon juga mencipta logo untuk bank fiksyen, iaitu Bank Deposit Zurich yang turut muncul dalam filem The Da Vinci Code.